Wednesday, September 30, 2009

Tentang diriku..


Di Bumi Allah penuh barakah, bermula di teratak lama di Kg. Lohan, Ranau pada 14 Mei 1982 bersamaan hari Khamis aku dilahirkan. Tidak sempat pun ke hospital aku terus ingin melihat dunia. Kasihan Ibu yang melahirkan aku dengan hanya bantuan bidan kampung. Dengan Izin dan Kuasa Allah jua aku membesar dan terus menjalani hidup sehingga kini.
Aku merupakan anak ke-4 daripada 9 orang adik beradik. Daripada 9 orang saudara kandung, 2 orang kakak ku, seorang abang, 3 orang adik perempuan dan 2 orang adik lelaki. Alhamdulillah, abang dan kakak telahpun mendirikan rumahtangga. Manakala aku dan adik-adik dibawahku masih meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu. Cuma adik seorang yang baru beberapa bulan mula bekerja di salah sebuah IPTS setelah menamatkan pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), adik perempuan yang seorang pula masih menunggu Konvokesyen UMS selepas raya nanti. 13hb Oktober 2009. Aku pula macamana....

1989 – 1994 Menggamit memori...

Kenangan masa lalu masih dalam ingatan, walaupun dah beberapa puluh tahun berlalu namun zaman persekolahanku diperingkat Sekolah Rendah tetap dalam ingatan. Di kampung pedalamanku dahulu, suatu ketika aku menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Timbua, Ranau dari darjah 1 sehingga darjah 6. Teringat lagi masa itu, ketika malam di tempat lain masih diterangi lampu. Aku menyiapkan kerja sekolah dengan hanya berpelita ataupun lilin. Dah menjadi perkara biasa menjalani kehidupan seharian seperti itu. Namun usaha tetap diteruskan juga walaupun kadang kala malas tu sekali sekala datang menguasai diri. Ibu dan ayah pula tidak putus-putus menasihati dan mengingatkan kami semua adik beradik agar belajar bersungguh-sungguh. Bila terkenang kembali, adakalanya nasihat ibubapa tidak pun memberi kesan di hati atau fikiran kerana asyik bermain dengan rakan seperjuangan.

1994-2001 Telah berlalu...

Selepas mendapat keputusan UPSR yang tak seberapa, aku terpaksa berpisah dengan kawan-kawan seperjuanganku sewaktu di sekolah rendah apabila mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama). Bermula lah kehidupan ku di asrama SMK Agama Ranau dengan teman-teman baru yang datang dari seluruh pelusuk Sabah. Bersama-sama belajar dan mendalami ilmu agama yang bagi aku sesuatu yang baru berbanding dengan rakan-rakan yang lain yang sememangnya belajar banyak tentang agama di SUIS sewaktu di sekolah rendah. Pada mulanya terlalu susah dan payah bagi aku untuk belajar terutama membaca al-Quran dan belajar Bahasa Arab. Sewaktu di tingkatan 2 aku mula belajar mengaji al-Quran dalam kelas Iqra sehinggalah khatam al-Quran. Aku sangat bersyukur dan rasa beruntung mungkin ada hikmahnya aku dapat menyambung pelajaran di sekolah agama walaupun terlalu cetek dengan ilmu agama. Sejak dulu hingga lah sekarang aku memang lemah dalam bab-bab bahasa terutama Bahasa Arab. Minat untuk belajar ada tetapi disebabkan rasa susah menjadikan diri ini malas untuk mencuba dan berusaha lagi. Hinggalah membiarkan diri ini terus jahil dengan Bahasa Arab. Biarpun ilmu Bahasa Arab terlalu kurang tetapi niat dihati tetap ingin belajar lagi. Selepas menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah, bermulalah kehidupanku dalam dunia baru. Dunia yang menjadikan aku dalam dilema.. dengan pencapaian yang tidak seberapa, aku mula berfikir peluang untuk belajar lagi memang tipis. Apalagi untuk bekerja, memang tak terfikir pun kerja apa, di mana hendak mencari pekerjaan, Masa ini lah aku tak dapat menentukan hala tuju yang sebenar... sedikit rasa kesal dihati, mula lah menyalahkan diri yang tak bersungguh-sungguh dalam pelajaran... bermain difikiran ini dimana hendak pergi? Bagaimana mulakan langkah?

2002 Masih dalam dilema...

Sepanjang tahun ini, setahun duduk di kampung membantu keluarga memajukan perniagaan kecil-kecilan. Selain itu membantu ibubapa sedikit sebanyak bercucuk tanam. Masih dapat merasa sejuknya air sawah bendang, terasa lagi gigitan nyamuk kecil di kebun. Mencangkul dan menebas rumput dah menjadi lumrah kehidupan anak petani. Berjemur dibawah panas terik matahari, bermandi peluh yang membasahi dahi hingga ke tubuh. Sempat lagi menanam padi sawah di bendang, menuai padi dan apa sahaja kerja yang sempat dan mampu diusahakan bersama ibubapa. Terfikir juga masa ini ingin menceburkan diri dalam perniagaan. Apalagi minat untuk berniaga memang dah ada sejak sering kali membantu ibu ayah berjual. Ibu dan ayah pula telah merancang supaya aku menceburkan diri dalam perniagaan. Bermula dengan kursus asas usahawan, disamping itu aku membantu kakak dan abang ipar mengusahakan restoran di kawasan Pekan. Sebulan duduk pekan, aku kembali semula ke kampung membantu menguruskan kedai runcit sambil itu aku menjadi Guru Sukarelawan Agama di Sekolah Agama Rakyat yang terletak di kampung. Pertengahan tahun pula, aku ditawarkan menjadi guru pengganti di luar daerah. Hanya 2 bulan sahaja menjadi guru pengganti di Sekolah Rendah itu, aku kembali semula ke kampung. Dalam tahun ini, macam-macam perancangan Ibu dan ayah...aku hanya menuruti apa sahaja kehendak mereka. Setahun ini juga lah aku duduk di kampung..

2003 Yang tidak disangka-sangka...

Aku masih duduk di kampung meneruskan perjuangan membantu keluarga. Ada juga segelintir orang kampung bertanya hal diri ini. Hanya membisukan telinga bila mana macam-macam pertanyaan dan anggapan. Biar apapun orang kata, aku tetap dengan diri ini...pada mulanya terniat juga membuka perniagaan sendiri, belum pun sempat memiliki lesen perniagaan sendiri sesuatu yang aku memang tidak duga terjadi. Tidak pernah terfikir pula menyambung pelajaran setelah beberapa tahun duduk di kampung. Memang banyak tawaran belajar ke IPTS tapi tidak berkenan pula dengan bidang yang diperolehi. Tiba-tiba dipanggil mendaftar ke KISDAR yang sekarang ini KUIS. Gembira juga dapat bidang pengajian Islam pengkhususan Syariah tapi di saat akhir ada pula dugaan mendahului, akhirnya tak dapat teruskan niat untuk belajar. Memang di hati dah nekad untuk berniaga. Berniaga apapun yang penting halal, aku yakin 9/10 rezeki adalah dari perniagaan. Beberapa minggu selepas itu, dapat pula tawaran belajar ke IKMAS, JAKIM cawangan Sarawak dalam bidang Pengajian Islam dan Dakwah. Kegembiraan terpancar dihati, masih berbelah bagi untuk menyambung pelajaran. Mak ayah pula semacam berat hati melepaskan anak ini. Berat juga rasa hati, dah terbiasa dengan kerja yang diusahakan selama ini. Semacam harapan ibu ayah agar aku dapat membantu keluarga apalagi masa itu semua adik beradik masih belajar. Kakak masih di Universiti masa itu menyambung Sarjana dan sepenuhnya dibawah tanggungan mak ayah. Abang pula belajar di Kolej dekat KL, adik juga belajar di Politeknik Sarawak, adik seorang pula belajar di sekolah Agama di Kelantan. Adik -adik yang lain masih di sekolah rendah dan menengah. Hanya kakak yang sulung dah berkahwin dan bekerja sendiri bersama suami. Mula lah berfikir, kalau lah belajar lagi, kira kos belajar..tambang kapal lagi. Dah lah kakak, abang dan adik yang lain belajar di luar negeri Sabah. Kalau aku lagi belajar...dah 4 orang kena tambang naik flight. Fuhhh!!! Pening juga memikirkan...alhamdulillah, dengan solat dan doa yang berterusan kekuatan tu makin terasa. Hati ini dah nekad untuk meneruskan perjuangan mencari ilmu walaupun tahap diploma tak setinggi manapun berbanding orang lain yang dah dapat Ijazah, Master dan PHD tapi aku tetap bersyukur. Mungkin ini jalan yang terbaik Allah berikan.. aku tak pernah putus-putus memanjatkan kesyukuran. Segala-galanya tak pernah diduga dan tak disangka-sangka....

2003 – 2006 Teruskan Perjuangan...

Sepanjang menjalani kehidupan sebagai mahasiswa di IKMAS, pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui. Segalanya mematangkan diri dan walau seberat manapun dugaan pasti dihadapi dengan tenang. Mungkin kerana sebelum ini dah banyak cabaran atau dugaan yang datang lebih menjadikan aku tetap sabar dan tabah menghadapi hari-hari yang mendatang. Disamping tugas sebagai mahasiswa, pelbagai amanah lagi yang terpaksa dipikul. Pada mulanya telah diberi kepercayaan memegang amanah sebagai Timbalan Bendahari Agong, Majlis Perwakilan Mahasiswa. Selain itu menjalankan tugas-tugas lain yang diamanahkan. Pelbagai pengalaman yang diperolehi, apalagi bercampur dengan bermacam-macam orang. Sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan diri dan pengetahuan yang terlalu kurang. Apalagi mula menjinakkan diri dalam bidang dakwah. Pengalaman menjalani Latihan Amali Dakwah selama sebulan di perkampungan Rumah Panjang Iban di Kg. Merindon, Lubuk Antu, Sri Aman Sarawak. Terlalu muda untuk terjun dalam bidang kerja ini tetapi telah diberi kepercayaan menjalankannya di perkampungan yang majoritinya Non-Muslim, sebagai pelajar masih terlalu banyak kekurangan yang ada dalam diri ini. Walaupun dah berlalu beberapa tahun yang lalu namun hubungan dengan keluarga angkat masih tetap berterusan sehingga kini. Bukan itu sahaja, pengalaman dalam Latihan Industri di Pusat Latihan Islam Kundasang Jakim cawangan Sabah banyak mengajar dalam bidang kerjaya yang sebenar. Segalanya ku syukuri atas nikmat Allah yang tidak terperi memberikan jalan dan ruang untuk terus mencari ilmu dan terus belajar tentang kehidupan ini. Terlalu banyak kenangan yang ditinggalkan di IKMAS, suka duka segalanya tetap diingatan. Para pensyarah yang banyak membantu dan tidak pernah putus menyokong perjuangan dalam mencari ilmu ini. Bersama sahabat, rakan dan taulan seperjuangan yang tetap terus mendokong syiar Islam... semoga ia akan kekal di hati sanubari hingga ke akhirnya.... pertengahan 2006, aku selamat menamatkan pengajianku di IKMAS setelah 3 tahun berlalu tanpa disedari masa berlalu begitu pantas. Penghujung bulan Ogos kesyukuran yang tidak terhingga bila tiba Konvokesyen yang dinanti. Sedikit hiba bila Ibu dan ayah tidak dapat meihat penganugerahan ini. Aku tak kisah pun, malah tak ambil hati pun..aku tahu kos untuk ke Kuching masa itu terlalu tinggi apalagi penerbangan AirAsia belum ditawarkan lagi. Seingat aku sepanjang 3 tahun di IKMAS aku hanya menaiki penerbangan MAS sahaja. Aku tetap faham akan keadaan ini....

2007 Langkah seterusnya....

Setelah menamatkan pengajian di IKMAS, sekembali di kampung. Aku tetap meneruskan kerja-kerja membantu keluarga. Pada waktu itu, aku mula sibuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang aku pelajari selama ini. Serasa macam tak boleh duduk diam apabila melihat keperluan dakwah pada masyarakat sekeliling apalagi di tempat sendiri yang masih memerlukan sentuhan ilmu agama. Aku bukanlah orang yang pintar atau bijak dalam semua hal tetapi sedikit kesedaran tentang situasi ini menjadikan semangat untuk terjun dalam masyarakat itu timbul dalam diri. Seperti orang lain yang baru tamat belajar, segala peluang yang ada tidak disia-siakan. Alhamdulillah, awal tahun ini aku di panggil temuduga untuk Guru Agama di Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS). Beberapa hari selepas itu aku dipanggil untuk mula bertugas di SUIS Kg. Lohan, Ranau. Sepanjang mengajar sememangnya terlalu banyak cabaran yang dihadapi, dengan karenah pelajar-pelajar yang bermacam-macam ragam. Sesi pagi aku di sekolah, petang dan malam kadang-kadang membantu ibu membuat kerepek untuk dijual. Sebelum ke sekolah pula, menghantar anak saudara ke sekolah tadika. Begitulah rutin seharian yang aku lalui setiap hari. Belum pun sampai 2 minggu bertugas, Tiba-tiba dapat panggilan telefon pula dari Pusat Latihan Dakwah Kudat, meminta agar aku segera melapor diri dalam minggu tersebut. Syukur, alhamdulillah aku dilantik sebagai Guru Jemputan atau PKS di PLDK untuk mengajar pelatih-pelatih yang mengambil Sijil Asas Pengajian Islam. Bila berdepan dengan keadaan sebegini, hati ini pula berbelah bagi memilih yang mana satu? Apapun semua keputusan aku serahkan pada mak dan ayah. Alhamdulillah, mereka berlapang dada melepaskan anak gadis yg seorang ini..

PLDK – Seribu Kenangan..

Bermacam-macam kenangan dan pengalaman semasa bertugas sementara di PLDK..
Di sini lah aku mula belajar menghadapi cabaran. Di sini juga banyak kenangan terindah tercipta apalagi dapat mengenali kakak yang tersayang kak Long & Kak Puad.. tidak dilupakan semua staf-staf, kakitangan dan semua student.. Memang best sangat2. Insyaallah..dikesempatan yang lain, aku teruskan kisah dalam memori ini…semoga memberi seribu peringatan dan azam.. :-)




No comments:

Post a Comment

 

©2009 Peribadi | Muslimah Sejati | Dibuat oleh Ct'Skdz